Showing posts with label al-fitan. Show all posts
Showing posts with label al-fitan. Show all posts

Sunday, 26 April 2015

Hadis Ya'juj dan Ma'juj

 Assalamualaikum wbt.



عَنْ أُمِّ حَبِيبَةَ بِنْتِ أَبِي سُفْيَانَ عَنْ زَيْنَبَ ابْنَةِ جَحْشٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم دَخَلَ عَلَيْهَا يَوْمًا فَزِعًا يَقُولُ " لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَيْلٌ لِلْعَرَبِ مِنْ شَرٍّ قَدِ اقْتَرَبَ فُتِحَ الْيَوْمَ مِنْ رَدْمِ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ مِثْلُ هَذِهِ " وَحَلَّقَ بِإِصْبَعَيْهِ الإِبْهَامِ وَالَّتِي تَلِيهَا. قَالَتْ زَيْنَبُ ابْنَةُ جَحْشٍ فَقُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَفَنَهْلِكُ وَفِينَا الصَّالِحُونَ؟ قَالَ " نَعَمْ إِذَا كَثُرَ الْخُبْثُ ".

Maksudnya :
Dari Ummu Habibah binti Abu Sufyan, dari Zainab puteri Jahsy, bahawa Rasulullah s.a.w masuk kepadanya suatu hari dalam keadaan panik sambil mengucapkan, “Tidak ada Tuhan kecuali Allah, celaka bangsa Arab kerana keburukan yang telah mendekat, dibukakan pada hari ini tembok Ya’juj dan Ma’juj seperti ini.” Beliau kemudian membuat lingkaran dengan ibu jarinya dengan yang sesudahnya. Zainab puteri Jahsy berkata, “Aku berkata, ‘Wahai Rasulullah, apakah kami akan dibinasakan sementara di antara kami ada orang-orang yang soleh?’ Beliau bersabda, ‘Benar, apabila keburukan telah bermaharaja lela’.”
( Sahih Bukhari. Kitab Fitan. Bab Ya’juj dan Ma’juj. No. Hadis 7135. Sahih )

Keterangan Hadis :
Hadis tersebut menerangkan bahawa apabila di suatu tempat atau negeri sudah terlampau banyak kejahatan, kemungkaran dan kefasikan, maka kebinasaan akan menimpa semua orang yang berada di temapat itu. Tidak hanya kepada orang jahat sahaja, tetapi orang-orang soleh juga akan dibinasakan, walaupun masing-masing pada hari kiamat akan diperhitungkan megikut amalan yang telah dilakukan.


Menurut Ibnu Al Arabi, beliau berkata, “Di dalamnya terdapat penjelasan bahawa orang yang baik akan binasa seiring dengan dibinasakannya orang jahat jika orang baik itu tidak merubah kejahatan. Begitu juga apabila orang baik telah berusaha merubahnya namun tidak memberi manfaat dan orang jahat itu tetap dalam perbuatan buruknya. Kejahatannya semakin merebak dan bertambah banyak berlaku kerosakan. Maka saat itu dibinasakan kesemuanya. Oleh itu, segala kemungkaran dan kefasikan hendaklah segera dibasmikan dan segala kemaksiatan hendaklah segera dimusnahkan, supaya tidak terjadi malapetaka yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang melakukan kemungkaran dan kejahatan tersebut, tetapi ianya menimpa semua penduduk yang berada di tempat itu.

Dalam hadis tersebut, walaupun disebutkan secara khusus tentang bahasa Arab tetapi yang dimaksudkan adalah seluruh bangsa yang ada di dunia ini. Tujuan disebutkan bangsa Arab secara khusus adalah kerana Rasulullah s.a.w merupakan dari kalangan mereka, dan yang menerima Islam pada masa permulaan penyebarannya adalah kebanyakannya dari kalangan bangsa Arab dan sedikit sahaja dari bangsa yang lain. Begitu juga hal yang berkaitan dengan maju dan mundurnya Islam. Umat Islam banyak bergantung kepada maju dan mundurnya bangsa Arab itu sendiri.

           
Selain itu, bahasa rasmi Islam adalah bahasa Arab. Kemudian Ya’juj dan Ma’juj pula adalah dua bangsa (dari keturunan Nabi Adam a.s.) yang dahulunya banyak membuat kerosakan di permukaan bumi ini, lalu batas daerah dan kediaman mereka ditutup oleh Zul Qarnain dan pengikut-pengikutnya dengan campuran besi dan tembaga, maka dengan itu mereka tidak dapat keluar sehinggalah hampir tibanya hari kiamat. Maka pada masa itu, dinding yang kuat tadi akan hancur dan keluarlah kedua-dua bangsa ini dari kediaman mereka lalu kembali membuat kerosakan di permukaan bumi ini. Apabila hal ini telah terjadi, ia menandakan bahawa hari kiamat sudah dekat.


Pengajaran Hadis :
Tembok Zul Qarnain berkait rapat dengan asal usul dan identiti bangsa Ya’juj dan Ma’juj. Daripada Ibn Abbas r.a kepada Ibn Khaldun sehinggalah ulama mutakhir, mereka seolah sepakat mengatakan bahawa tembok Zul Qarnain terletak di pergunungan Caucasus. Apabila tiba ketentuan Allah s.w.t, sebagaimana yang Allah s.w.t janjikan, tembok itu akan hancur, maka Ya’juj dan Ma’juj akan muncul dan akan turun ‘dari seluruh tempat yang tinggi’. Oleh itu, perkara-perkara berkaitan peristiwa akhir zaman ini wajib diimani oleh setiap muslim dan tidak boleh disanggah sama sekali tentang kebenarannya.

            
Menjadi satu kepastian kaum Ya’juj dan Ma’juj akan muncul di akhir zaman sebelum terjadinya Hari Kiamat. Hal ini menjadi salah satu dari tanda-tanda besar berlakunya Kiamat. Di dalam hadis Rasulullah s.a.w, ada menyebut, apabila Ya’juj dan Ma’juj muncul, mereka melalui Tasik Tabariah dan mereka meminum airnya sehingga kering. Justeru, kita perlu beramal ibadah dengan sebenar-benarnya seperti yang disuruh Allah s.w.t melalui teladan yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. Hal ini demikian kerana ia merupakan perkara asas dan umum yang mesti kita lakukan agar iman menjadi mantap.

Rujukan :
Ibnu Hajar Al Asqalani. 2009. Fathul Baari Penjelasan Kitab Sahih Bukhari. Penterjemah : Amiruddin. Cetakan Pertama. Jakarta : Pustaka Azzam. Kitab Al-Fitan. Jilid 35. Bab 28. Hlm. 363-379.

Wednesday, 8 April 2015

Hadis Sabda Nabi s.a.w. “Sungguh Kamu Akan Melihat Sesudahku Banyak Perkara-Perkara Yang Kamu Ingkari”





Assalamualaikum wbt.

حَدَّثَنَا أَبُو النُّعْمَانِ حَدَّثَنَا حَمَّادُ بْنُ زَيْدٍ عَنْ الْجَعْدِ أَبِي عُثْمَانَ حَدَّثَنِي أَبُو رَجَاءٍ الْعُطَارِدِيُّ قَالَ سَمِعْتُ ابْنَ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ رَأَى مِنْ أَمِيرِهِ شَيْئًا يَكْرَهُهُ فَلْيَصْبِرْ عَلَيْهِ فَإِنَّهُ مَنْ فَارَقَ الْجَمَاعَةَ شِبْرًا فَمَاتَ إِلَّا مَاتَ مِيتَةً جَاهِلِيَّةً

Maksudnya :
Abu Nu’man telah menceritakan kepada kami, Hammad bin Zaid telah menceritakan kepada kami daripada Alja’ bin Abi Uyhman, Abu Raja’ al-‘Uthardi telah menceritakan kepada ku, dia berkata, aku mendengar Ibn Abbas daripada Nabi s.a.w bersabda : Diriwayatkan dari Abdullah bin Abbas r.a bahawa Nabi s.a.w pernah bersabda: “Sesiapa yang melihat sesuatu daripada pemimpinnya yang tidak disukainya, hendaklah dia bersabar, kerana orang yang memisahkan diri dengan pemimpinnya meskipun sejengkal, maka dia akan mati dalam jahiliyah.”

Keterangan Hadis :
Ketaatan kepada pemimpin adalah salah satu kewajipan dalam agama, bahkan agama tidak akan tegak tanpanya. Hal ini demikian kerana suatu kemaslahatan umat tidak akan dicapai melainkan umat masyarakat tersebut bersatu di bawah satu jemaah dan satu kepimpinan yang adil dan saksama. Bukhari berkata : “Aku telah berjumpa dengan 1000 lebih para ulama di Hijjaz, Mekah, Madinah, Kufah, Bashraah, Wasith, Baghdad, Syam dan Mesir. Aku berjumpa dengan mereka berulang-ulang kali dari satu generasi ke generasi lain. Aku tidak pernah melihat seorang pun daripada mereka yang berbeza pendapat dalam sesuatu masalah.” Berdasarkan sabda Nabi s.a.w : “Ada 3 perkara di mana hati seseorang muslim tidak akan dengki terhadapnya iaitu mengikhlaskan amalan kerana Allah, mentaati perintah dan komitmen dengan al-jamaah kerana doa kepada pemerintah akan berkaitan juga dengan rakyatnya.”

Selain itu, al-Imam Ibnu Hajar al-Asqalani berkata: “Para ulama telah bersepakat atas kewajipan taat kepada pemimpin yang menang (dalam merebut kekuasaan) dan wajib jihad bersamanya. Taat kepadanya lebih baik daripada membangkang kepadanya kerana hal tersebut akan mencegah pertumpahan darah dan menjamin kesejahteraan rakyat.”

Pengajaran Hadis :
1 ) Wajib ke atas masyarakat untuk mentaati pemerintah yang melaksanakan syariat Islam dengan sebenar-benarnya.
2 ) Elakkan diri daripada terjerumus ke dalam kancah perpecahan dan perselisihan.

Rujukan :
Ibnu Hajar al-Asqalani. 2009. Fathul Bari Penjelasan Kitab Shahih Al-Bukhari. Perterjemah: Amiruddin. Cetakan 1. Jilid 35. Jakarta: Pustaka Azzam. Bab 2. Hlm 9-23.



Sunday, 22 March 2015

Hadis Fitnah Yang Mengenai Semua Rumah




Assalamualaikum wbt.

عن عبد الله بن العلاء بن زبر قال : سمعت بسر بن عبيد الله أنه سمع أبا إدريس قال : سمعت عوف بن مالك قال : أتيت النبي صلى الله عليه وسلم في غزوة تبوك – وهو في قبة من أدم – فقال : اعدد ستا بين يدي الساعة : موتي، ثم فتح بيت المقدس، ثم موتان يأخذ فيكم كقعاص الغنم، ثم استفاضة المال حتى يعطى الرجل مائة دينار فيظل ساخطا، ثم فتنة لا يبقى بيت من العرب إلا دخلته، ثم هدنة تكون بينكم و بين بني الأصفر فيغدرون، فيأتونكم تحت ثمانين غاية تحت كل غاية اثنا عشر ألفا.

Maksudnya :
Dari Abdullah bin al-Ala’ bin Zubir telah menceritakan kepada kami, dia berkata, aku mendengar Busr bin Ubaidillah bahawa dia mendengar Abu Idris berkata, aku mendengar Auf bin Malik berkata: Aku berjumpa Nabi s.a.w dalam perang Tabuk dan Rasul s.a.w berada di dalam khemah daripada kulit binatang. Nabi s.a.w bersabda: Kiralah enam perkara sebelum kiamat. 1. Kematianku 2. Pembukaan Bait al-Maqdis 3. Kematian yang besar yang akan mengambil kamu sama seperti penyakit ulat pada kambing ( iaitu taun yang berlaku kepada penduduk Syam) 4. Harta melimpah sehingga lelaki diberi seratus dinar namun dia tetap marah 5. Fitnah yang akan kena semua rumah orang Arab 6. Perdamaian antara kamu dengan orang-orang Rom lalu mereka akan memungkiri janji dan mereka akan datang dengan 80 bendera dan setiap satu bendera ada 12 ribu bala tentera.

(Sahih Bukhari. Kitab Jizyah. Bab Pengkhianatan Yang Harus Diwaspadai. No Hadith 2940)

Keterangan Hadis :
ستا ( Enam ):
Maksudnya, enam tanda-tanda akan terjadinya Kiamat, atau tampak tanda-tanda yang mendekati terjadinya Kiamat.

 ثم موتان ( Kemudian kematian ):
Al-Qazzaz berkata, “ Kata ‘mutaan’ bermakna kematian”. Sementara ulama lain selain daripadanya berkata, “Maknanya adalah kematian yang sangat banyak”.
Dalam riwayat Ibnu as-Sakan disebutkan “mautataan” (dua kematian), iaitu dalam bentuk tatsniyah (ganda). Dengan demikian, harus dibaca fathah pada huruf pertama.

كعقاص الغنم  ( Sama seperti penyakit kambing ):
Uqash adalah penyakit yang menimpa haiwan ternakan di mana air keluar dari hidungnya dan mengakibatkan kematian mendadak. Abu Ubaid berkata, “dari sini diambil kata iq’ash, iaitu kematian”. Ibnu Faris berkata, “Uqash adalah penyakit yang menimpa di bahagian dada seakan-akan mematahkan leher”. Dikatakan bahawa tanda kiamat ini telah nampak saat menyebar wabak ta’un amwas di masa pemerintahan umar, dan hal itu terjadi setelah pembebasan Baitul Maqdis.

 ثم استفاضة المال ( Kemudian harta melimpah)
Tanda kiamat ini nampak pada masa pemerintahan Uthman bin Affan ketika terjadi pembebasan secara besar-besaran, dan fitnah yang disenyalir dimulai dengan terbunuhnya Uthman. Setelah itu bencana dan fitnah terjadi. Sedangkan tanda Kiamat keenam yang disebutkan pada hadith ini belum pernah berlaku.

هدنة ( Perdamaian ):
Maksudnya, mengikat perjanjian untuk tidak melakukan peperangan setelah terjadi gerakan peperangan. Adapun yang dimaksudkan dengan bani Ashfar adalah bangsa Romawi.

غاية  ( Ghaayah ):
Iaitu, panji. Panji dinamakan ghaayah (tujuan), kerana ia adalah sesuatu yang diikuti, jika berhenti maka pasukan pun akan berhenti. Ibnu Al Jauzi berkata, “Sebahagian periwayat menukil dengan lafaz ‘ghaabah’, dan ghaabah adalah belukar, seakan-akan dia menyamakan antara banyaknya tombak seperti belukar. Al Khathhabi berkata, “Ghaabah adalah ghaidhah.” Kata ini digunakan untuk mengungkapkan bendera-bendera yang diangkat untuk para pemimpin pasukan dengan tombak yang dipegang.

Al Muhallab berkata, “Hadis ini memberi penjelasan bahawa pengkhianatan termasuk tanda-tanda Kiamat.” Di dalamnya terdapat sejumlah perkara yang merupakan tanda-tanda kenabian dan sebahagian besarnya telah terjadi.

Pengajaran Hadis :

1.         Umat Islam diingatkan supaya meneliti segala tanda kiamat yang telah disabdakan     oleh Baginda Nabi s.a.w.
2.         Manusia mesti sentiasa bersedia dan berwaspada dengan segala tanda yang disebutkan oleh Rasulullah s.a.w.

Rujukan :

Ibnu Hajar Al Asqalani. 2006. Fathul Bari Penjelasan Kitab Sahih Al Bukhari.
Penterjemah : Amiruddin. Cet. 1. Jil. 16. Hlm. 870-875.

Saturday, 7 March 2015

Hadis Perkhabaran Rasul Tentang al-Fitan






Assalamualaikum wbt.

حدثنا أبو اليمان أخبرنا شعيب عن الزهري (ح) . وحدثنا إسماعيل حدثني أخي عن سليمان عن محمد بن أبي عتيق عن ابن شهاب عن هند بنت الحارث الفراسية أن أم سلمة زوج النبي صلى الله عليه وسلم قالت: استيقظ رسول الله صلى الله عليه وسلم ليلة فزعا يقول ( سبحان الله ماذا أنزل الله من الخزائن وماذا أنزل من القتن من يوقظ صواحب الحجرات – يريد أزواجه لكي يصلين- رب كاسية في الدنيا عارية في الأخرة ).

Maksudnya :
Daripada Ibn Syihab daripada Hindun binti al-Harith bin al-Firasiyyah, sesungguhnya Ummu Salamah isteri Nabi s.a.w berkata : Rasulullah telah bangun pada waktu malam dengan mengejut dan bersabda : Apa yang Allah turunkan daripada harta-harta dan apa yang Allah turunkan daripada fitnah? Siapakah yang boleh menolong untuk mengejutkan puan-puan (isteri-isteri) empunya bilik supaya mereka solat. Boleh jadi orang yang memakai pakaian di dunia tidak akan berpakaian di akhirat.

( Bukhari. Kitab Ilmu. Bab Ilmu dan Nasihat di Malam Hari. No. Hadis 6658 )

Keterangan Hadis :

Maksud Imam Bukhari tentang bab mengajarkan ilmu di malam hari adalah menjelaskan bahawa larangan bercengkerama setelah isyak adalah khusus dalam masalah yang tidak ada unsur kebaikannya.
  : سبحان الله ماذا
Kata istifham (pertanyaan) dalam kalimat ini menggambarkan rasa takjub dan pengagungan.
 :أنزل
(Diturunkan) membawa maksud para malaikat telah turun untuk memberitahu tentang perkara-perkara yang telah ditetapkan, atau Nabi bermimpi telah diturunkan wahyu kepadanya mengenai bencana dan fitnah yang akan terjadi setelah meninggalnya.
 :صواحب الحجرات
Maksudnya, rumah-rumah para isteri Nabi s.a.w. Dikhususkannya mereka untuk dibangunkan, adalah kerana pada saat itu mereka hadir atau juga hal ini termasuk “Mulailah dari diri anda sendiri kemudian baru keluarga anda.”
 :عارية
(Telanjang). Rasulullah mengisyaratkan akan kewajipan untuk membangunkan isteri-isteri beliau atau diwajibkan bagi mereka untuk tidak lalai menunaikan ibadah agar tidak bergantung pada status mereka sebagai isteri Nabi.

Pengajaran Hadis :

1 ) Isyarat boleh mengucapkan tasbih “SubhanaAllah” ketika terkejut atau menyaksikan sesuatu yang mengerikan (maksudnya turunnya fitnah) serta anjuran untuk menyebut nama Allah setelah bangun tidur.

2 ) Anjuran untuk segera menunaikan solat ketika takut datangnya keburukan sebagaimana Rasulullah memerintahkan untuk mengerjakan solat sekiranya ditimpa kesusahan atau mimpi melihat sesuatu yang tidak disukai.

3 )  Hendaklah seorang suami membangunkan isterinya di malam hari untuk menunaikan ibadah, lebih-lebih lagi apabila terjadi atau muncul tanda-tanda kebesaran Allah.

Rujukan :
Ibnu Hajar al-Asqalani. 2002. Fathul Bari Penjelasan Kitab Shahih al-Bukhari. Penterjemah : Gazirah Abdi Ummah. Cet. 1. Jil. 1. Jakarta : Pustaka Azzam. Hlm 401-403.