Sunday, 10 May 2015

Hadith tentang Kepimpinan: Janganlah bercita-cita terhadap Kepimpinan



Assalamualaikum wbt.



7147/6622 حَدَّثَنَا أَبُو مَعْمَرٍ: حَدَّثَنَا عَبْدُ الْوَارِثِ: حَدَّثَنَا يُونُسُ عَنْ الْحَسَنِ: حَدَّثَنِي عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ سَمُرَةَ قَالَ: قَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ))يَا عَبْدَ الرَّحْمَنِ بْنَ سَمُرَةَ، لَا تَسْأَلْ الْإِمَارَةَ فَإِنْ أُعْطِيتَهَا عَنْ مَسْأَلَةٍ وُكِلْتَ إِلَيْهَا، وَإِنْ أُعْطِيتَهَا عَنْ غَيْرِ مَسْأَلَةٍ أُعِنْتَ عَلَيْهَا، وَإِذَا حَلَفْتَ عَلَى يَمِينٍ فَرَأَيْتَ غَيْرَهَا خَيْرًا مِنْهَا فَأْتِ الَّذِي هُوَ خَيْرٌ وَكَفِّرْ عَنْ يَمِينِكَ)).

الراوي : عبدالرحمن بن سمرة المحدث : البخاري
المصدر : صحيح البخاري الصفحة أو الرقم: 7147 خلاصة حكم المحدث : صحيح
(Sahih Bukhari, Kitab Ahkam, Bab Siapa yang berambisi berkuasa, Kekuasaan itu akan dibenarkan kepadanya [tanpa pertolongan Allah])
Maksud: Abu Ma’mar menyampaikan kepada kami dari Abdul Waris, dari al-Hasan bahawa Abdurrahman bin Samurah berkata, “Rasulullah s.a.w. pernah berkata kepadaku, ‘Wahai Abdurrahman bin Samurah, janganlah engkau meminta kekuasaan, kerana apabila engkau diberi kekuasaan setelah memintanya, engkau akan dibiarkan tanpa pertolongan daripada Allah. Namun, apabila engkau diberi kekuasaan tanpa memintanya, nescaya Allah akan menolongmu menjalankan kekuasaan itu. Apabila engkau bersumpah atas sesuatu, lalu engkau mendapatkan yang lebih baik darinya, kerjakan yang lebih baik itu dan bayarlah kafarat sumpahmu.’”

Syarah Hadith
Makna hadith tersebut adalah, sesiapa yang meminta jabatan lalu diberikan maka dia tidak akan ditolong kerana cita-citanya (ambisi) itu. Dari sini dapat disimpulkan bahawa meminta sesuatu yang berkenaan dengan jabatan adalah makruh (tidak disukai). Maksud dalam jabatan ini adalah pemerintahan, pengadilan, kewangan, dan lain-lain. Sesiapa bercita-cita mendapatkannya maka dia tidak diberi pertolongan. Namun, hal ini bertentangan dengan riwayat Abu Daud dari Abu Hurairah yang diriwayatkan secara marfu’, ‘Sesiapa meminta jabatan untuk mengadili kaum Muslimin hingga mendapatkannya kemudian keadilannya mengalahkan kecurangannya maka baginya syurga. Tetapi sesiapa yang kecurangannya megalahkan keadilannya maka baginya neraka).

            Seseorang yang meminta jabatan tidak akan mendapat pertolongan dan akan mengakibatkan diri seseorang itu tidak dapat berbuat atau berlaku adil apabila dia sudah memangku jabatan. Pada ayat, ‘Oleh itu kami tidak akan memberi jabatan kepada orang yang bercita-cita’, yang menjadi pasangannya adalah pertolongan, kerana sesiapa yang tidak mendapatkan pertolongan daripada Allah terhadap pekerjaannya, maka dia tidak akan mampu menunaikan pekerjaan itu. Sehingga tidak patut memenuhi permintaannya kerana diketahui bahawa suatu jabatan tidak akan luput dari kesulitan. Sesiapa tidak mendapatkan pertolongan dari Allah, maka dia mendapat kesulitan dalam pekerjaannya dan merugi dunia akhirat. Orang yang berakal sihat tentu tidak mahu memintanya sama sekali. Bahkan bila dia memiliki kemampuan lalu diberi jabatan tanpa meminta maka dia dijanjikan akan mendapat pertolongan.

            Ibnu Hajar berkata, demikian juga hadith yang diriwayatkan oleh al-Tirmidhi melalui Abu Awanah, dari Abdul A’la al-Tsa’labi. Dia meriwayatkan pula bersama Abu Daud dan Ibnu Majah dari jalur Abu Awanah melalui Israil, dari Abdul A’la, tanpa menyebutkan Khaitsamah dalam sanadnya.

            Al-Tirmdhi berkata, “Riwayat Abu Shalih lebih sahih.”

            Kemudian dia berkata dalam riwayat Abu Awanah, “Hadith ini hasan gharib.”

            Al-Hakim meriwayatkan melalui Israil seraya menyatakan bahawa hadith itu sahih. Namun, ditanggapi bahawa Ibnu Ma’in menganggap Khaitsamah sebagai epriwayat yang kurang kuat dan melemahkan Abdul A’la. Begitu pula perkataan majoriti tentang Abdul A’la, “Dia bukan periwayat yang kuat.”

            Al-Muhallab berkata, “Termasuk makna ‘dipaksakan adalah diberi jabatan itu dan dia melihat dirinya tidak layak memangkunya kerana pengagungan dan ketakutan akan terjerumus dalam perbuatan yang terlarang. Dalam keadaan seperti itu dia akan ditolong serta diluruskan. Asas bagi masalah ini bahawa siapa merendah untuk Allah, maka Dia akan mengangkatnya.”

            Ibnu at-Tin berkata, “Hal ini difahami menurut keadaan umum, kerana Yusuf telah berkata dalam surah Yusuf ayat 55 (Jadikanlah aku bendaharawan negara (mesir)). Begitu pula Sulaiman berkata dalam surah Shaad ayat 35 (Dan anugerahkanlah kepadaku kerajaan).’ Lalu dia berkata, “Mungkin pula hadith di atas berlaku untuk selain para nabi” (Ibnu Hajar al-Asqalani. 2002: 429-431).

Pengajaran Hadith
1.      Hadith di atas sebenarnya mengajarkan kepada kita bahawa amanat itu tidak perlu dicari dan jabatan atau jawatan itu tidak perlu dikejar.
2.      Hal ini kerana apabila kita mencari dan mengejar amanat dan jabatan itu, maka nescaya Allah tidak akan membantu kita.
3.      Tetapi apabila kita tidak menuntut dan tidak mencari amanat itu, maka Allah akan membantu untuk meringankan beban amanat itu sendiri.
4.      Hadith ini juga mengajarkan kita supaya jawatan itu disandang oleh orang yang selayaknya.
5.      Terlalu ramai yang meminta jawatan yang tidak sepadan dengan kelayakannya.
6.      Manusia gemar untuk mengangkat diri sendiri dan bangga dengan pencapaian mereka, sedangkan di dalam Islam mengajar kita untuk bersederhana dan memilih pemimpin yang selayaknya.

Rujukan
Ibnu Hajar al-Asqalani. 2002. Fathul Bari Penjelasan Kitab: Shahih al-Bukhari. Terj.         Amiruddin. Jil. 35. Jakarta : Pustaka Azzam.

No comments:

Post a Comment