Showing posts with label pemimpin. kepimpinan. Show all posts
Showing posts with label pemimpin. kepimpinan. Show all posts

Sunday, 10 May 2015

Hadith tentang Kepimpinan: Janganlah bercita-cita terhadap Kepimpinan



Assalamualaikum wbt.



7147/6622 حَدَّثَنَا أَبُو مَعْمَرٍ: حَدَّثَنَا عَبْدُ الْوَارِثِ: حَدَّثَنَا يُونُسُ عَنْ الْحَسَنِ: حَدَّثَنِي عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ سَمُرَةَ قَالَ: قَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ))يَا عَبْدَ الرَّحْمَنِ بْنَ سَمُرَةَ، لَا تَسْأَلْ الْإِمَارَةَ فَإِنْ أُعْطِيتَهَا عَنْ مَسْأَلَةٍ وُكِلْتَ إِلَيْهَا، وَإِنْ أُعْطِيتَهَا عَنْ غَيْرِ مَسْأَلَةٍ أُعِنْتَ عَلَيْهَا، وَإِذَا حَلَفْتَ عَلَى يَمِينٍ فَرَأَيْتَ غَيْرَهَا خَيْرًا مِنْهَا فَأْتِ الَّذِي هُوَ خَيْرٌ وَكَفِّرْ عَنْ يَمِينِكَ)).

الراوي : عبدالرحمن بن سمرة المحدث : البخاري
المصدر : صحيح البخاري الصفحة أو الرقم: 7147 خلاصة حكم المحدث : صحيح
(Sahih Bukhari, Kitab Ahkam, Bab Siapa yang berambisi berkuasa, Kekuasaan itu akan dibenarkan kepadanya [tanpa pertolongan Allah])
Maksud: Abu Ma’mar menyampaikan kepada kami dari Abdul Waris, dari al-Hasan bahawa Abdurrahman bin Samurah berkata, “Rasulullah s.a.w. pernah berkata kepadaku, ‘Wahai Abdurrahman bin Samurah, janganlah engkau meminta kekuasaan, kerana apabila engkau diberi kekuasaan setelah memintanya, engkau akan dibiarkan tanpa pertolongan daripada Allah. Namun, apabila engkau diberi kekuasaan tanpa memintanya, nescaya Allah akan menolongmu menjalankan kekuasaan itu. Apabila engkau bersumpah atas sesuatu, lalu engkau mendapatkan yang lebih baik darinya, kerjakan yang lebih baik itu dan bayarlah kafarat sumpahmu.’”

Syarah Hadith
Makna hadith tersebut adalah, sesiapa yang meminta jabatan lalu diberikan maka dia tidak akan ditolong kerana cita-citanya (ambisi) itu. Dari sini dapat disimpulkan bahawa meminta sesuatu yang berkenaan dengan jabatan adalah makruh (tidak disukai). Maksud dalam jabatan ini adalah pemerintahan, pengadilan, kewangan, dan lain-lain. Sesiapa bercita-cita mendapatkannya maka dia tidak diberi pertolongan. Namun, hal ini bertentangan dengan riwayat Abu Daud dari Abu Hurairah yang diriwayatkan secara marfu’, ‘Sesiapa meminta jabatan untuk mengadili kaum Muslimin hingga mendapatkannya kemudian keadilannya mengalahkan kecurangannya maka baginya syurga. Tetapi sesiapa yang kecurangannya megalahkan keadilannya maka baginya neraka).

            Seseorang yang meminta jabatan tidak akan mendapat pertolongan dan akan mengakibatkan diri seseorang itu tidak dapat berbuat atau berlaku adil apabila dia sudah memangku jabatan. Pada ayat, ‘Oleh itu kami tidak akan memberi jabatan kepada orang yang bercita-cita’, yang menjadi pasangannya adalah pertolongan, kerana sesiapa yang tidak mendapatkan pertolongan daripada Allah terhadap pekerjaannya, maka dia tidak akan mampu menunaikan pekerjaan itu. Sehingga tidak patut memenuhi permintaannya kerana diketahui bahawa suatu jabatan tidak akan luput dari kesulitan. Sesiapa tidak mendapatkan pertolongan dari Allah, maka dia mendapat kesulitan dalam pekerjaannya dan merugi dunia akhirat. Orang yang berakal sihat tentu tidak mahu memintanya sama sekali. Bahkan bila dia memiliki kemampuan lalu diberi jabatan tanpa meminta maka dia dijanjikan akan mendapat pertolongan.

            Ibnu Hajar berkata, demikian juga hadith yang diriwayatkan oleh al-Tirmidhi melalui Abu Awanah, dari Abdul A’la al-Tsa’labi. Dia meriwayatkan pula bersama Abu Daud dan Ibnu Majah dari jalur Abu Awanah melalui Israil, dari Abdul A’la, tanpa menyebutkan Khaitsamah dalam sanadnya.

            Al-Tirmdhi berkata, “Riwayat Abu Shalih lebih sahih.”

            Kemudian dia berkata dalam riwayat Abu Awanah, “Hadith ini hasan gharib.”

            Al-Hakim meriwayatkan melalui Israil seraya menyatakan bahawa hadith itu sahih. Namun, ditanggapi bahawa Ibnu Ma’in menganggap Khaitsamah sebagai epriwayat yang kurang kuat dan melemahkan Abdul A’la. Begitu pula perkataan majoriti tentang Abdul A’la, “Dia bukan periwayat yang kuat.”

            Al-Muhallab berkata, “Termasuk makna ‘dipaksakan adalah diberi jabatan itu dan dia melihat dirinya tidak layak memangkunya kerana pengagungan dan ketakutan akan terjerumus dalam perbuatan yang terlarang. Dalam keadaan seperti itu dia akan ditolong serta diluruskan. Asas bagi masalah ini bahawa siapa merendah untuk Allah, maka Dia akan mengangkatnya.”

            Ibnu at-Tin berkata, “Hal ini difahami menurut keadaan umum, kerana Yusuf telah berkata dalam surah Yusuf ayat 55 (Jadikanlah aku bendaharawan negara (mesir)). Begitu pula Sulaiman berkata dalam surah Shaad ayat 35 (Dan anugerahkanlah kepadaku kerajaan).’ Lalu dia berkata, “Mungkin pula hadith di atas berlaku untuk selain para nabi” (Ibnu Hajar al-Asqalani. 2002: 429-431).

Pengajaran Hadith
1.      Hadith di atas sebenarnya mengajarkan kepada kita bahawa amanat itu tidak perlu dicari dan jabatan atau jawatan itu tidak perlu dikejar.
2.      Hal ini kerana apabila kita mencari dan mengejar amanat dan jabatan itu, maka nescaya Allah tidak akan membantu kita.
3.      Tetapi apabila kita tidak menuntut dan tidak mencari amanat itu, maka Allah akan membantu untuk meringankan beban amanat itu sendiri.
4.      Hadith ini juga mengajarkan kita supaya jawatan itu disandang oleh orang yang selayaknya.
5.      Terlalu ramai yang meminta jawatan yang tidak sepadan dengan kelayakannya.
6.      Manusia gemar untuk mengangkat diri sendiri dan bangga dengan pencapaian mereka, sedangkan di dalam Islam mengajar kita untuk bersederhana dan memilih pemimpin yang selayaknya.

Rujukan
Ibnu Hajar al-Asqalani. 2002. Fathul Bari Penjelasan Kitab: Shahih al-Bukhari. Terj.         Amiruddin. Jil. 35. Jakarta : Pustaka Azzam.

Wednesday, 6 May 2015

Hadith tentang Kepimpinan Politik: Pemimpin Tanggungjawab Masyarakat

Assalamualaikum wbt.










مَعْقِلِ بْنِ يَسَارٍ عَنِ الحَسَنِ, أَنَّ عُبَيْدَاللهِ اِبْنَ زِيَادٍ عَادَ مَعْقِلَ بْنَ يَسَارٍ فِي مَارَضِهِ الَّذِي مَاتَ فِيْهِ, فَقَالَ لَهُ مَعْقِلٌ : إِنِّي مُحَدِّثُكَ حَادِثًا سَمِعْتُهُ مِنْ رَسُوْلِ اللهِ، سَمِعْتُ النَّبِيَّ، يَقُولُ : مَا مِنْ عَبْدٍ اسْتَرْعَاهُ اللهُ رَعِيَةً فَلَمْ يَحُطْهَا بِنَصِيْحَةٍ إِلاَّ لَمْ يَجِدْ رَائِحَةَ الجَنَّةِ
(أخرجه البخري في : ٣٩ كتاب الأحكام :٨ باب من استرعى رعية فلم ينصح رقيق(

Terjemahan:
Ma’qil bin Yasar, dari Al-Hasan, sesungguhnya Ubaidillah bin Ziyad menjenguk Ma’qil bin Yasar ketika dia sakit sebelum dia meninggal. Maka Ma’qil berkata kepada Ubaidillah bin Ziyad: Aku akan menyampaikan kepadamu sebuah hadis yang telah aku dengar dari Rasulullah. Aku telah mendengar baginda  bersabda: “Tiada seorang hamba yang diberi amanah rakyat oleh Allah lalu ia tidak memeliharanya dengan baik, melainkan hamba itu tidak akan mencium bau syurga.”

Syarah Hadith
       Ibnu Bathal berkata, “ini adalah ancaman keras terhadap para pemimpin zalim yang mensia-siakan amanah yang dititipkan Allah kepada mereka, atau mengkhianati rakyat, atau menzalimi mereka, sehingga dia dituntut kerana menzalimi para hamba pada hari kiamat. Bagaimana dia mampu berlepas diri dari kezaliman umat yang demikian banyak.

Firman Allah dalam surah Al-Qashash ayat 8;

فَالْتَقَطَهُ آلُ فِرْعَوْنَ لِيَكُونَ لَهُمْ عَدُوّاً وَحَزَناً إِنَّ فِرْعَوْنَ وَهَامَانَ وَجُنُودَهُمَا كَانُوا خَاطِئِينَ  
Maksud: “Maka dipungutlah ia oleh keluarga Fir`aun yang akibatnya dia menjadi musuh dan kesedihan bagi mereka. Sesungguhnya Fir`aun dan Haman beserta tentaranya adalah orang-orang yang bersalah.”

Maksudnya, Allah hanya memberikan kekuasaan kepadanya atas hamba-hamba-Nya agar senantiasa berlaku lurus terhadap mereka hingga meninggal dalam keadaan demikian. Tetapi ketika dia membalikkan urusan maka dia patut diberi hukuman.

      Pengajaran hadis :
1)      Kejujuran adalah perkara yang paling asas dalam sebuah kepemimpinan.
2)      Bila pemimpinnya jujur namun staf-stafnya tidak jujur, maka kepemimpinan itu juga akan rosak. Begitu juga sebaliknya.
3)      Seorang pemimpin haruslah memberi contoh yang baik kepada mereka yang dipimpinnya.
4)      Menunjukkan betapa murkanya Allah terhadap pemimpin yang tidak jujur dan suka menipu rakyat.
Rujukan
[Al-bukhari meletakkan hadis ini di: 93 Kitab Hukum: 8. Bab orang yang diberi amanah lalu tidak memeliharanya. Hadis no 7150] (اللؤلؤ والمرجان:١٢٠٠)

Wednesday, 22 April 2015

Hadith tentang Kepimpinan: Taatlah Pemimpin kalian meskipun..



Assalamualaikum wbt.



7142حَدَّثَنَا مُسَدَّد: حَدَّثَنَا يَحْيَى حَدَّثَنَا شُعْبَةُ، قَالَ حَدَّثَنِي أَبُو التَّيَّاحِ، عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رضي الله عنه قال: قَالَ رَسُولُ الله صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ((اسْمَعُوا وَأَطِيعُوا، وَإِنْ اسْتُعْمِلَ عَلَيكُمُ عَبدً حَبَشِيٌّ كَأَنَّ رَأْسَهُ زَبِيبَةٌ)).

)صحيح البخاري ، أَبْوَابُ صَلَاةِ الْجَمَاعَةِ وَالْإِمَامَةِ ، اسمعوا وأطيعوا(
الراوي : أنس بن مالك المحدث : البخاري
المصدر : صحيح البخاري الصفحة أو الرقم: 693/7142 خلاصة حكم المحدث : صحيح

Maksudnya: Musaddad menyampaikan kepada kami dari  Yahya bin Sa’id, dari Syu’bah, dari Abu at-Tayyah, dari Anas bin Malik bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Dengar dan taatilah pemimpin kalian meskipun khalifah mengangkat Amir dari pemuda Habasyah yang kepalanya mirip seperti kismis.” 

Syarah Hadith

(Bab mendengar dan taat kepada imam selama bukan dalam kemaksiatan). Imam Bukhari mengaitkannya dengan kata ‘imam’ (pemimpin tertinggi) walaupun dalam hadith terdapat perintah taat untuk setiap pemimpin walau bukan imam, kerana kedudukan perintah taat kepada pemimpin adalah hendaknya perintah itu datang dari Imam (pemimpin).

            اسْمَعُوا وَأَطِيعُوا وَإِنْ اسْتُعْمِلَ (Dengar dan taatlah meskipun diangkat menjadi pemimpin). Maksudnya, meskipun diangkat menjadi pemimpin tertinggi bagi kamu, atau diangkat menjadi pembantu pemimpin tertinggi, seperti imam solat, atau petugas zakat, atau ketua pasukan. Di zaman Khulafa ar-Rasyidin ada yang memegang ketiga perkara itu dan ada pula yang memegang sebahagiannya sahaja. 

            حَبَشِيٌّ (Habasyi). Maksudnya, berasal dari Habsyah (ethiopia). Pada perbahasan solat dalam bab imam seorang budak, disebutkan hadith yang berasal dari Muhammad bin Basysyar, dari Yahya al-Qaththan, اسْمَعُوا وَأَطِيعُوا وَإِنْ اسْتُعْمِلَ حَبَشِيٌّ (Dengar dan taatlah kamu semua meskipun yang menjadi pemimpin adalah orang habsyah), lalu setelah satu bab disebutkan pula hadith dari Ghundar dari Syu’bah dengan redaksi, لأبي ذر: اسمع وأطع ولو لحبشي   قال النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ (Nabi saw bersabda kepada Abu Dzar, “Dengar dan taatlah meskipun terhadap lelaki dari Habsyah”). Imam Muslim juga meriwayatkan dari Ghundar, dari Syu’bah, melalui sanad lain hingga Abu Dzar, bahawa ketika dia sampai ke Rabadzah, ternyata di sana ada seorang budak sedang mengimami mereka, tiba-tiba budak itu mundur kerana Abu Dzar, maka Abu Dzar berkata, أوصاني خليلي (Kekasihku telah berwasiat kepadaku). Lalu disebutkan redaksi hadith seperti di atas.

            كَأَنَّ رَأْسَهُ زَبِيبَةٌ (Kepalanya tampak seperti anggur kering). Perkataan zabiibah adalah bentuk jamak dari perkataan zabiib yang bermaksud sejenis makanan yang diperbuat daripada anggur setelah melalui proses pengeringan. Hal ini disebutkan kerana kepala lelaki Habsyah itu diserupakan dengan anggur kering kerana terpilih dan warnanya hitam. Hal ini adalah perumpamaan untuk menunjukkan kerendahan dan keburukan rupa serta sikap tidak diambil kira dalam hal ini. 

            Ibnu Hajar berkata, mungkin dia disebut budak berdasarkan keadaannya sebelum dimerdekakan, dan semua ini hanya berlaku dalam keadaan normal. Apabila ada budak dalam erti yang sesungguhnya merebut kekuasaan dengan menggunakan kekuatan maka mentaatinya merupakan kewajipan dalam rangka meredakan fitnah selama tidak memerintahkan kemaksiatan. Ada yang mengatakan, maksudnya adalah apabila pemimpin tertinggin mengangkat pemuda Habsyah memegang pemerintahan di suatu negeri maka wajib untuk mentaatinya, bukan bererti pemuda itu menjadi pemimpin tertinggi.

            Al-Khaththabi berkata, “Terkadang dibuat perumpamaan yang tidak ada dalam realiti.” Maksudnya, hal ini adalah satu dari perkara tersebut. Tujuan disebutkan budak Habsyah adalah sebagai penekanan terhadap perintah untuk taat meskipun tidak terbayangkan secara syara’, dia memegang pucuk pemerintahan (Ibnu Hajar al-Asqalani. 2002: 422-424).

Pengajaran Hadith
1.      Nabi Muhammad s.a.w diutus sebagai nabi bukan hanya untuk orang arab saja, melainkan untuk semua umat manusia.
2.      Kerana itu, para pengikut nabi bukan saja dari kalangan suku quraisy, melainkan juga dari suku-suku lainnya yang sebelum datang islam.
3.      Salah seorang sahabat nabi yang bernama Bilal bin Rabah yang warna kulitnya cukup hitam legam. Padahal, sebelum datangnya ajaran islam di arab dulu, orang kulit hitam adalah termasuk kelompok suku yang sebagian besar adalah hamba. Mereka sama sekali tidak dihargai dan tidak diperlakukan sebagaimana manusia yang lain.
4.      Tidak kisah jika seseorang itu berkulit hitam, coklat, merah, hijau dan sebagainya, asalkan mampu memimpin secara adil, maka dia berhak untuk menjadi pemimpin.
5.      Dalam konteks ini, keadilan dan kejujuran menjadi kriteria paling utama dalam menentukan seorang pemimpin, bukan warna kulit atau asal golongan.

Rujukan.
Ibnu Hajar al-Asqalani. 2002. Fathul Bari Penjelasan Kitab: Shahih al-Bukhari. Terj.         Amiruddin. Jil. 35. Jakarta : Pustaka Azzam.