Showing posts with label politik. Show all posts
Showing posts with label politik. Show all posts

Wednesday, 6 May 2015

Hadith tentang Kepimpinan Politik: Pemimpin Tanggungjawab Masyarakat

Assalamualaikum wbt.










مَعْقِلِ بْنِ يَسَارٍ عَنِ الحَسَنِ, أَنَّ عُبَيْدَاللهِ اِبْنَ زِيَادٍ عَادَ مَعْقِلَ بْنَ يَسَارٍ فِي مَارَضِهِ الَّذِي مَاتَ فِيْهِ, فَقَالَ لَهُ مَعْقِلٌ : إِنِّي مُحَدِّثُكَ حَادِثًا سَمِعْتُهُ مِنْ رَسُوْلِ اللهِ، سَمِعْتُ النَّبِيَّ، يَقُولُ : مَا مِنْ عَبْدٍ اسْتَرْعَاهُ اللهُ رَعِيَةً فَلَمْ يَحُطْهَا بِنَصِيْحَةٍ إِلاَّ لَمْ يَجِدْ رَائِحَةَ الجَنَّةِ
(أخرجه البخري في : ٣٩ كتاب الأحكام :٨ باب من استرعى رعية فلم ينصح رقيق(

Terjemahan:
Ma’qil bin Yasar, dari Al-Hasan, sesungguhnya Ubaidillah bin Ziyad menjenguk Ma’qil bin Yasar ketika dia sakit sebelum dia meninggal. Maka Ma’qil berkata kepada Ubaidillah bin Ziyad: Aku akan menyampaikan kepadamu sebuah hadis yang telah aku dengar dari Rasulullah. Aku telah mendengar baginda  bersabda: “Tiada seorang hamba yang diberi amanah rakyat oleh Allah lalu ia tidak memeliharanya dengan baik, melainkan hamba itu tidak akan mencium bau syurga.”

Syarah Hadith
       Ibnu Bathal berkata, “ini adalah ancaman keras terhadap para pemimpin zalim yang mensia-siakan amanah yang dititipkan Allah kepada mereka, atau mengkhianati rakyat, atau menzalimi mereka, sehingga dia dituntut kerana menzalimi para hamba pada hari kiamat. Bagaimana dia mampu berlepas diri dari kezaliman umat yang demikian banyak.

Firman Allah dalam surah Al-Qashash ayat 8;

فَالْتَقَطَهُ آلُ فِرْعَوْنَ لِيَكُونَ لَهُمْ عَدُوّاً وَحَزَناً إِنَّ فِرْعَوْنَ وَهَامَانَ وَجُنُودَهُمَا كَانُوا خَاطِئِينَ  
Maksud: “Maka dipungutlah ia oleh keluarga Fir`aun yang akibatnya dia menjadi musuh dan kesedihan bagi mereka. Sesungguhnya Fir`aun dan Haman beserta tentaranya adalah orang-orang yang bersalah.”

Maksudnya, Allah hanya memberikan kekuasaan kepadanya atas hamba-hamba-Nya agar senantiasa berlaku lurus terhadap mereka hingga meninggal dalam keadaan demikian. Tetapi ketika dia membalikkan urusan maka dia patut diberi hukuman.

      Pengajaran hadis :
1)      Kejujuran adalah perkara yang paling asas dalam sebuah kepemimpinan.
2)      Bila pemimpinnya jujur namun staf-stafnya tidak jujur, maka kepemimpinan itu juga akan rosak. Begitu juga sebaliknya.
3)      Seorang pemimpin haruslah memberi contoh yang baik kepada mereka yang dipimpinnya.
4)      Menunjukkan betapa murkanya Allah terhadap pemimpin yang tidak jujur dan suka menipu rakyat.
Rujukan
[Al-bukhari meletakkan hadis ini di: 93 Kitab Hukum: 8. Bab orang yang diberi amanah lalu tidak memeliharanya. Hadis no 7150] (اللؤلؤ والمرجان:١٢٠٠)

Sunday, 19 April 2015

Hadith tentang Kepimpinan Politik: Kelebihan Pemimpin

Assalamualaikum wbt.









عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ شِمَاسَةَ قَالَ أَتَيْتُ عَائِشَةَ زَوْجَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَسْأَلُهَا عَنْ شَيْءٍ فَقَالَتْ أُخْبِرُكَ بِمَا سَمِعْتُ مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ فِي بَيْتِي هَذَا اللَّهُمَّ مَنْ وَلِيَ مِنْ أَمْرِ أُمَّتِي شَيْئًا فَشَقَّ عَلَيْهِمْ فَاشْقُقْ عَلَيْهِ وَمَنْ وَلِيَ مِنْ أَمْرِ أُمَّتِي شَيْئًا فَرَفَقَ بِهِمْ فَارْفُقْ بِهِ

Maksudnya: Dari ‘Abd Rahman bin Shimasah, dia berkata: “Saya datang kepada ‘Aisyah untuk menanyakan tentang sesuatu, maka dia balik bertanya, “Dari manakah kamu?”. Saya menjawab, “Seseorang dari penduduk Mesir.” ‘Aisyah berkata, “Bagaimana keadaan sahabat kalian yang berperang bersama kalian dalam peperangan ini?” dia menjawab, “Kami tidak pernah membencinya sedikit pun. Jika keldai salah seorang dari kami mati, maka dia menggantikannya, jika yang mati adalah seorang budak, maka dia akan mengganti seorang budak, dan jika salah seorang dari kami memerlukan keperluan hidup, maka ia akan memberinya.”. ‘Aisyah berkata, “Tidak layak bagiku jika aku tidak mengutarakan keutamaan saudaraku, Muhammad bin Abu Bakar, aku akan memberitahumu sesuatu yang pernah aku dengari dari Rasulullah SAW. Baginda berdoa ketika berada di rumahku ini: “Ya Allah, siapa yang menjawat suatu jawatan dalam pemerintahan umatku, lalu dia menyusahkan urusan mereka, maka susahkanlah dia. Dan siapa yang menjawat suatu jawatan dalam pemerintahan umatku, lalu dia berusaha menolong mereka, maka tolonglah dia.”

Syarah Hadith
Hadith ini menyebut tentang kelebihan pemimpin dan tiada halangan atau sebab untuk bermusuh dan menentang pemimpin. Hadith ini juga menyarankan supaya berdoa untuk pemimpin sama ada pemimpin yang adil atau yang zalim seperti disebut dalam hadith di atas, “Ya Allah, siapa yang menjawat suatu jawatan dalam pemerintahan umatku, lalu dia menyusahkan urusan mereka, maka susahkanlah dia. Dan siapa yang menjawat suatu jawatan dalam pemerintahan umatku, lalu dia berusaha menolong mereka, maka tolonglah dia.”
Hal ini memberitahu kita bahawa Nabi SAW juga mendoakan khusus kepada pemimpin yang zalim. Doa Nabi SAW juga merangkumi pemimpin yang adil.

Pengajaran Hadith
1. Hendaklah kita berdoa kepada pemimpin sama ada yang zalim atau yang adil.
2. Nabi SAW mengajar kita adab-adab termasuk adab dengan pemimpin.

Takhrij Hadith
Hadith riwayat Muslim, Kitab al-Imarah, Bab Kelebihan Pemimpin Yang Adil, Ancaman Terhadap Pemimpin Yang Zalim, Anjuran Supaya Berlemah Lembut Terhadap Rakyat Dan Larangan Menyusahkan Mereka, Nombor Hadith: 3407.

Wednesday, 1 April 2015

Hadith tentang Kepimpinan Politik: Sifat Adil Seorang Pemimpin

Assalamualaikum wbt.









عن زهير قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم إن المقسطين عند الله على منابر من نور عن يمين الرحمن عز وجل وكلتا يديه يمين الذين يعدلون في حكمهم وأهليهم وما ولوا.

Maksudnya: Daripada Zuhair katanya Rasulullah SAW bersabda: “Orang-orang yang berlaku adil berada di sisi Allah di atas mimbar yang dibuat daripada cahaya, di sebelah kanan al-Rahman ‘Azza Wa Jalla - sedangkan kedua tangan Allah adalah kanan semua – iaitu orang-orang yang berlaku adil dalam hukum, adil dalam keluarga dan adil dalam melaksanakan tugas yang dibebankan kepada mereka.”

Syarah Hadith
            Hadith ini menjelaskan tentang kelebihan pemimpin yang adil serta balasan baik yangakan diperolehi sekiranya mereka menjalankan amanah yang diberi dengan sebaik-baiknya tanpa sebarang kezaliman, pencabulan hak, rasuah serta jenayah-jenayah lain. Pemimpin yang mempunyai cirri-ciri kepimpinan yang baik mampu memberi tauladan yang baik kepada rakyat seluruhnya. Sebaliknya, kepimpinan yang zalim akan memberi kesan yang buruk terhadap diri, masyarakat dan negara seluruhnya.

            Al-Qadhi ‘Iyyad berkata bahawa yang dimaksudkan dengan mimbar ialah mimbar secara haqiqi dan juga mengandungi makna kinayah iaitu satu kedudukan yang tinggi dan mulia. Justeru, Imam al-Nawawi telah mengambil jalan menghimpunkan kedua-dua pandangan ini dengan menjelaskan bahawa pemimpin yang berlaku adil di dalam setiap setiap gerak kerjanya akan mendapat kedudukan yang tinggi di sisi Allah iaitu di atas mimbar yang tinggi.

            Hadith ini juga menyebut tentang salah satu daripada salah satu daripada sifat-sifat Allah iaitu ‘tangan kanan al-Rahman’. Ulama’ telah berselisih pendapat mengenai hadith-hadith sifat. Terdapat diantara mereka yang beriman dengan hadith tersebut tanpa mengubah maknanya yang asal (takwil) seperti jumhur ulama’ Salaf dan sebahagian ulama’ Mutakallimin. Manakala sebahagian lain berpendapat bahawa hadith-hadith atau ayat-ayat yang berkaitan dengan sifat hendaklah diubah maknanya kepada makna lain yang bersesuaian dengan keagungan dan kesempurnaan Allah seperti pendapat kebanyakan ulama’ Mutakallimin.

            Al-Qadhi ‘Iyyad berkata, yang dimaksudkan dengan ‘kanan’ ialah satu keadaan yang baik serta kedudukan yang tinggi. Manakala Ibn ‘Arafah pula berpendapat bahawa kebanyakan orang arab jika ingin menunjukkan sesuatu yang baik dan terpuji, mereka akan menggunakan sesuatu yang berada di sebelah kanan dan sebaliknya akan menisbahkan kepada anggota kiri sekiranya ia menunjukkan sesuatu yang hina.

            Manakala maksud ‘orang-orang yang berlaku adil dalam hukum, adil dalam keluarga dan adil dalam melaksanakan tugas yang dibebankan kepada mereka’ pula adalah merupakan salah satu kelebihan kepada mana-mana pemimpin di semua peringkat yang melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan sebaik-baiknya. Mereka berhak mendapat kedudukan yang tinggi di hadapan Allah kerana melaksanakan hubungan baik dengan Allah dan dalam masa yang sama berlaku baik terhadap manusia.

Pengajaran Hadith
1. Galakan kepada pemimpin supaya melaksanakan tanggungjawab dengan adil.
2. Pemimpin yang adil berhak mendapat kedudukan mulia di sisi Allah.
3. Kepentingan merapatkan hubungan sesama manusia untuk mendapat keredhaan Allah.

Takhrij Hadith
Hadith riwayat Muslim, Kitab al-Imarah, Bab Kelebihan Pemimpin Yang Adil, Ancaman Terhadap Pemimpin Yang Zalim, Anjuran Supaya Berlemah Lembut Terhadap Rakyat Dan Larangan Menyusahkan Mereka, No. Hadith: 3406.

Sunday, 15 March 2015

Hadith tentang Kepimpinan Politik: Meminta Pekerjaan yang Tidak Penting



 Assamualaikum wbt.


عن أبي ذرّ قال قلت يا رسول الله ألا تستعملني قال فضرب بيده على منكبي ثم قال يا أبا ذرّ إنك ضعيف وإنها أمانة وإنها يوم القيامة خزي وندامة إلا من أخذها وأدّى الذي عليه فيها.

Maksudnya: Daripada Abu Dzar, dia berkata, “Wahai Rasulullah, tidakkah engkau menjadikanku sebagai pegawai pejabat?” Kemudian Baginda menepuk bahuku dengan tangan Baginda seraya besabda: “Wahai Abu Dzar, kamu ini lemah untuk memegang jawatan, padahal jawatan itu merupakan amanah. Pada hari qiamat ia adalah kehinaan dan penyesalan kecuali bagi sesiapa yang mengambilnya dengan haq dan melaksanakan tugas dengan benar.”

Syarah Hadith
            Hadith ini diriwayatkan oleh sebilangan ramai perawi iaitu 40 orang dari kalangan para tabi’in yang meriwayatkan antara satu sama lain. Di dalam riwayat lain, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Wahai Abu Dzar, sesungguhnya aku melihatmu sebagai seorang yang lemah (daripada menerima jawatan), sedangkan aku mencintaimu sepertimana aku mencitai diriku. Janganlah kamu menjadi pemimpin di antara dua orang dan janganlah kamu menguasai harta anak yatim.”
            Hadith ini menjadi dasar terpenting dalam permasalahan seseorang yang meminta-minta jawatan terutamanya bagi yang tidak mampu untuk melaksanakan tanggungjawab pekerjaan tersebut. Mereka berhak mendapat kecelakaan dan penyesalan kerana mereka tidak berkelayakan di dalam pekerjaan yang diminta, atau mereka layak, tetapi tidak menjalankan amanah yang diberikan secara adil akan dihina oleh Allah pada hari qiamat kelak dan dalam masa yang sama mereka akan menyesal terhadap apa yang mereka lakukan di dunia.
            Sebaliknya, sesiapa yang berkelayakan untuk memegang tampuk kepimpinan serta berlaku adil di dalam pemerintahannya akan mendapat ganjaran yang besar di sisi Tuhannya seperti yang dijelaskan oleh Baginda SAW, “Tujuh golongan yang akan mendapat perlindungan di bawah naungan ‘Arasy Allah (di hari qiamat kelak) ketika manusia tidak mendapat perlindungan selain perlindungan-Nya, antaranya ialah pemimpin yang adil…”

Pengajaran Hadith
1. Seseorang yang tidak berkelayakan di dalam sesuatu pekerjaan tidak sepatutnya meminta-minta jawatan tersebut kerana dibimbangi tidak dapat melaksanakan amanah dengan sebaiknya.
2. Sikap tamak terhadap jawatan akan membawa penyesalan di hari pembalasan.
3. Pemimpin yang adil akan mendapat pertolongan daripada Allah serta disenangi oleh rakyatnya.

Takhrij Hadith
Hadith riwayat Muslim, kitab al-Imarah, Bab Makruh Meminta Jawatan Tanpa Keperluan, No. Hadith: 3404.