Showing posts with label ekonomi. Show all posts
Showing posts with label ekonomi. Show all posts

Sunday, 3 May 2015

Hadith tentang Orang Yang Tidak Peduli Dari Mana Ia Mendapatkan Harta




 Assalamualaikum wbt.



صحيح البخاري - كِتَاب الْبُيُوعِ - بَاب مَنْ لَمْ يُبَالِ مِنْ حَيْثُ كَسَبَ الْمَالَ

حَدَّثَنَا آدَمُ حَدَّثَنَا ابْنُ أَبِي ذِئْبٍ حَدَّثَنَا سَعِيدٌ الْمَقْبُرِيُّ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ  عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ يَأْتِي عَلَى النَّاسِ زَمَانٌ لَا يُبَالِي الْمَرْءُ مَا أَخَذَ مِنْهُ أَمِنَ الْحَلَالِ أَمْ مِنْ الْحَرَامِ

Maksudnya: adam menyampaikan kepada kami dari Ibn Abu Dzi’b, dari Sa’id al-Maqburi, dari Abu Hurairah bahawa Nabi s.a.w. bersabda: “Suatu saat nanti akan datang seseorang yang tidak peduli lagi adakah yang diperolehnya halal atau haram”

Keterangan Hadith


Bab ini membicarakan tentang celaan bagi orang yang tidak cakna dalam mencari harta.

            يَأْتِي عَلى النَّاسِ زَمَانٌ (akan datang pada manusia satu masa). Dalam riwayat Ahmad dari Yazid, dari Ibnu Abi Dzi’b disebutkan لِيَأْتِيَنَّ عَلَى النَّاسِ زَمَانٌ  (sungguh akan datang kepada manusia satu masa).

                 Dalam riwayat an-Nasa’i melalui jalur lain disebutkan يَأْتِي عَلَى زَمَانٍ مَا يُبَالِى الرَّجُلُ مِنْ أَيْنَ أَصَابَ  اَلْمَالَ مِنْ حَلٌّ أَوْ حَرَامٍ (suatu masa dimana seseorang tidak lagi peduli dari mana ia mendapatkan harta, apakah dari sumber yang halal atau yang haram).


Riwayat ini dinukilkan oleh an-Nasa’i melalui jalur Muhammad bin Abdurrahnman dari asy-Sya’bi dari Abu Hurairah. Dalam kitab Al-Athraaf, al-Mizzi melakukan kekeliruan dimana ia mengira bahawa Muhammad bin Abdurrahman adalah Ibnu Abi Dzi’b.oleh kerana itu, ia menyebut riwayat an-Nasa’i bersama periwayatan jalur Imam Bukhari ini dari Ibnu Abi Dzi’b padahal sebenarnya tidak seperti yang diduga, kerana sesungguhnya saya tidak menemukan keterangan demikian pada semua naskah yang sempat saya teliti dari an-Nasa’i kecuali dari asy-Sya’bi dari Sa’id.

             
Muhammad bin Abdurrahman, saya kira adalah Ibnu Abi Dzi’b kerana saya tidak mengetahu jika Ibnu Abi Dzi’b pernah menukil riwayat dari asy-Sya’bi.

           
Ibnu At-Tin berkata: “Nabi s.a.w. mengkhabarkan hal ini sebagai peringatan tentang fitnah (ujian) harta, dan ini termasuk sebahagian tanda kenabian, dimana baginda mengkhabarkan sesuatu yang tidak terjadi pada masanya”.

           
Sebab adanya celaan tersebut iaitu menyamakan antara cara yang halal dan yang haram. Namun, apabila tidak demikian, maka mencari harta melalui cara yang halal bukan termasuk perkara yang tercela.

Pengajaran Hadith

1. Seseorang hendaklah peka dengan sumber rezeki yang diperolehi supaya tidak terjerumus dalam pekerjaan yang haram.

2. Sumber yang halal dapat melahirkan sesebuah institusi keluarga yang berakhlak baik.

Rujukan:
Ibnu Hajar al-Asqalani. 2002. Fathul Bari Penjelasan Kitab Sahih al-Bukhari. Penterjemah: Gazirah Abdi Ummah. Cetakan Pertama. Jilid 12. Jakarta: Pustaka Azzam. Hlm 32-33.

Wednesday, 15 April 2015

Bab Supaya Dimurahkan Rezekinya




 Assalamualaikum wbt.



فتح الباري شرح صحيح البخاري - كِتَاب الْبُيُوعِ

بَاب مَنْ أَحَبَّ الْبَسْطَ فِي الرِّزْقِ

 حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ أَبِي يَعْقُوبَ الْكِرْمَانِيُّ حَدَّثَنَا حَسَّانُ حَدَّثَنَا يُونُسُ قَالَ مُحَمَّدٌ هُوَ الزُّهْرِيُّ عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَنْ سَرَّهُ أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ أَوْ يُنْسَأَ لَهُ فِي أَثَرِهِ فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ

Maksudnya: Muhammad bin Abu Ya’qub al-Kirmani menyampaikan kepada kami dari Hassan, dari Yunus, dari Muhammad az-Zuhri, dari Anas bin Malik yang mendengar Rasulullah s.a.w. “Sesiapa yang ingin dimurahkan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, hendaklah dia menyambung tali silaturrahim”.

Keterangan Hadith

Menurut ulama’, maksud dimurahkan rezeki adalah diberikan keberkatan. Sedangkan keberkatan pada umur adalah diberinya kekuatan fizikal kerana mengeratkan hubungan kekeluargaan adalah sedekah. Sedekah dapat mengembangkan harta. Rezeki seseorang ditetapkan disaat dia masih di dalam perut ibunya lagi.

Oleh kerana itu, memerlukan kepada penakwilan ini atau yang dimaksudkan ialah rezeki itu ditetapkan berdasarkan syarat tersebut. Seperti yang dikatakan apabila dia mengeratkan hubungan kekeluargaan maka rezekinya berjumlah sekian. Tetapi jika tidak, maka rezekinya berjumlah sekian sahaja.

At-Tirmizi mengemukakan pendapat yang berlainan. Menurutnya ialah singkatnya waktu dia di alam barzakh.

Ibnu Qutaibah berkata: “Ada kemungkinan umur seseorang ditulis selama 100 tahun dan bonus 20 tahun. Apabila dia mengeratkan hubungan kekeluargaan maka bonus pun diberikan”.

Ulama selainnya berkata: “Apa yang tertulis disisi malaikat yang ditugaskan untuk mengurus hal tersebut tidak seperti yang ada pada ilmu Allah, dimana apa yang ditulis di sisi malaikat akan mengalami perubahan”. Maksudnya, bahawa interaksi sosial itu sangat berkait rapat dengan apa yang nampak, sedangkan sesuatu yang tidak nampak merupakan hal yang tersembunyi dan tidak dikaitkan dengan hukum. Oleh yang demikian, sesuatu yang diketahui oleh malaikat dapat mengalami perubahan, boleh bertambah, berkurang atau dihapuskan.

Semua mempunyai hikmah yang besar, iaitu meyampaikan kepada mukallaf (orang yang kenakan beban syar’i) tentang keutamaan berbuat baik dan buruknya memutuskan hubungan kekeluargaan.

Pengajaran Hadith

1.      Kita hendaklah menjaga hubungan silaturrahim.
2.      Jadilah seorang yang mudah untuk memaafkan jika berlaku persengketaan dalam hubungan persahabatan.

Rujukan:
Ibnu Hajar al-Asqalani. 2002. Fathul Bari Penjelasan Kitab Sahih al-Bukhari. Penterjemah: Gazirah Abdi Ummah. Cetakan Pertama. Jilid 12. Jakarta: pustaka Azzam. Hlm 49-50.

Wednesday, 1 April 2015

Hadith tentang Kepimpinan Politik: Sifat Adil Seorang Pemimpin

Assalamualaikum wbt.









عن زهير قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم إن المقسطين عند الله على منابر من نور عن يمين الرحمن عز وجل وكلتا يديه يمين الذين يعدلون في حكمهم وأهليهم وما ولوا.

Maksudnya: Daripada Zuhair katanya Rasulullah SAW bersabda: “Orang-orang yang berlaku adil berada di sisi Allah di atas mimbar yang dibuat daripada cahaya, di sebelah kanan al-Rahman ‘Azza Wa Jalla - sedangkan kedua tangan Allah adalah kanan semua – iaitu orang-orang yang berlaku adil dalam hukum, adil dalam keluarga dan adil dalam melaksanakan tugas yang dibebankan kepada mereka.”

Syarah Hadith
            Hadith ini menjelaskan tentang kelebihan pemimpin yang adil serta balasan baik yangakan diperolehi sekiranya mereka menjalankan amanah yang diberi dengan sebaik-baiknya tanpa sebarang kezaliman, pencabulan hak, rasuah serta jenayah-jenayah lain. Pemimpin yang mempunyai cirri-ciri kepimpinan yang baik mampu memberi tauladan yang baik kepada rakyat seluruhnya. Sebaliknya, kepimpinan yang zalim akan memberi kesan yang buruk terhadap diri, masyarakat dan negara seluruhnya.

            Al-Qadhi ‘Iyyad berkata bahawa yang dimaksudkan dengan mimbar ialah mimbar secara haqiqi dan juga mengandungi makna kinayah iaitu satu kedudukan yang tinggi dan mulia. Justeru, Imam al-Nawawi telah mengambil jalan menghimpunkan kedua-dua pandangan ini dengan menjelaskan bahawa pemimpin yang berlaku adil di dalam setiap setiap gerak kerjanya akan mendapat kedudukan yang tinggi di sisi Allah iaitu di atas mimbar yang tinggi.

            Hadith ini juga menyebut tentang salah satu daripada salah satu daripada sifat-sifat Allah iaitu ‘tangan kanan al-Rahman’. Ulama’ telah berselisih pendapat mengenai hadith-hadith sifat. Terdapat diantara mereka yang beriman dengan hadith tersebut tanpa mengubah maknanya yang asal (takwil) seperti jumhur ulama’ Salaf dan sebahagian ulama’ Mutakallimin. Manakala sebahagian lain berpendapat bahawa hadith-hadith atau ayat-ayat yang berkaitan dengan sifat hendaklah diubah maknanya kepada makna lain yang bersesuaian dengan keagungan dan kesempurnaan Allah seperti pendapat kebanyakan ulama’ Mutakallimin.

            Al-Qadhi ‘Iyyad berkata, yang dimaksudkan dengan ‘kanan’ ialah satu keadaan yang baik serta kedudukan yang tinggi. Manakala Ibn ‘Arafah pula berpendapat bahawa kebanyakan orang arab jika ingin menunjukkan sesuatu yang baik dan terpuji, mereka akan menggunakan sesuatu yang berada di sebelah kanan dan sebaliknya akan menisbahkan kepada anggota kiri sekiranya ia menunjukkan sesuatu yang hina.

            Manakala maksud ‘orang-orang yang berlaku adil dalam hukum, adil dalam keluarga dan adil dalam melaksanakan tugas yang dibebankan kepada mereka’ pula adalah merupakan salah satu kelebihan kepada mana-mana pemimpin di semua peringkat yang melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan sebaik-baiknya. Mereka berhak mendapat kedudukan yang tinggi di hadapan Allah kerana melaksanakan hubungan baik dengan Allah dan dalam masa yang sama berlaku baik terhadap manusia.

Pengajaran Hadith
1. Galakan kepada pemimpin supaya melaksanakan tanggungjawab dengan adil.
2. Pemimpin yang adil berhak mendapat kedudukan mulia di sisi Allah.
3. Kepentingan merapatkan hubungan sesama manusia untuk mendapat keredhaan Allah.

Takhrij Hadith
Hadith riwayat Muslim, Kitab al-Imarah, Bab Kelebihan Pemimpin Yang Adil, Ancaman Terhadap Pemimpin Yang Zalim, Anjuran Supaya Berlemah Lembut Terhadap Rakyat Dan Larangan Menyusahkan Mereka, No. Hadith: 3406.