Assalamualaikum wbt.
فتح الباري
شرح صحيح البخاري - كِتَاب الْبُيُوعِ
بَاب مَنْ
أَحَبَّ الْبَسْطَ فِي الرِّزْقِ
حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ أَبِي يَعْقُوبَ الْكِرْمَانِيُّ
حَدَّثَنَا حَسَّانُ حَدَّثَنَا يُونُسُ قَالَ مُحَمَّدٌ هُوَ الزُّهْرِيُّ عَنْ
أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى
اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَنْ سَرَّهُ أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ
أَوْ يُنْسَأَ لَهُ فِي أَثَرِهِ فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ
Maksudnya: Muhammad bin Abu Ya’qub al-Kirmani
menyampaikan kepada kami dari Hassan, dari Yunus, dari Muhammad az-Zuhri, dari
Anas bin Malik yang mendengar Rasulullah s.a.w. “Sesiapa yang ingin dimurahkan
rezekinya dan dipanjangkan umurnya, hendaklah dia menyambung tali silaturrahim”.
Keterangan Hadith
Menurut ulama’, maksud dimurahkan rezeki
adalah diberikan keberkatan. Sedangkan keberkatan pada umur adalah diberinya kekuatan
fizikal kerana mengeratkan hubungan kekeluargaan adalah sedekah. Sedekah dapat
mengembangkan harta. Rezeki seseorang ditetapkan disaat dia masih di dalam
perut ibunya lagi.
Oleh kerana itu, memerlukan kepada penakwilan
ini atau yang dimaksudkan ialah rezeki itu ditetapkan berdasarkan syarat
tersebut. Seperti yang dikatakan apabila dia mengeratkan hubungan kekeluargaan
maka rezekinya berjumlah sekian. Tetapi jika tidak, maka rezekinya berjumlah
sekian sahaja.
At-Tirmizi mengemukakan pendapat yang
berlainan. Menurutnya ialah singkatnya waktu dia di alam barzakh.
Ibnu Qutaibah berkata: “Ada kemungkinan umur
seseorang ditulis selama 100 tahun dan bonus 20 tahun. Apabila dia mengeratkan
hubungan kekeluargaan maka bonus pun diberikan”.
Ulama selainnya berkata: “Apa yang tertulis
disisi malaikat yang ditugaskan untuk mengurus hal tersebut tidak seperti yang
ada pada ilmu Allah, dimana apa yang ditulis di sisi malaikat akan mengalami
perubahan”. Maksudnya, bahawa interaksi sosial itu sangat berkait rapat dengan
apa yang nampak, sedangkan sesuatu yang tidak nampak merupakan hal yang
tersembunyi dan tidak dikaitkan dengan hukum. Oleh yang demikian, sesuatu yang
diketahui oleh malaikat dapat mengalami perubahan, boleh bertambah, berkurang
atau dihapuskan.
Semua mempunyai hikmah yang besar, iaitu
meyampaikan kepada mukallaf (orang yang kenakan beban syar’i) tentang keutamaan
berbuat baik dan buruknya memutuskan hubungan kekeluargaan.
Pengajaran Hadith
1. Kita hendaklah menjaga hubungan silaturrahim.
2. Jadilah seorang yang mudah untuk memaafkan jika berlaku persengketaan dalam
hubungan persahabatan.
Rujukan:
Ibnu Hajar al-Asqalani. 2002. Fathul Bari
Penjelasan Kitab Sahih al-Bukhari. Penterjemah: Gazirah Abdi Ummah. Cetakan
Pertama. Jilid 12. Jakarta: pustaka Azzam. Hlm 49-50.
No comments:
Post a Comment