Sunday, 12 April 2015

Hadith tentang Musaqah: Bab Pendapat Bahawa Pemilik Air Lebih Berhak Meminum Air Miliknya Sehingga Hilang Dahaganya, Berdasarkan Sabda Nabi s.a.w., “Penggunaan sisa air tidak boleh dilarang.”

Assalamualaikum wbt.









1
صحيح البخاري - كِتَاب الشُّرْبِ والْمُسَاقَاةِ - بَاب مَنْ قَالَ إِنَّ صَاحِبَ الْمَاءِ أَحَقُّ بِالْمَاءِ حَتَّى يَرْوَى

حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ يُوسُفَ أَخْبَرَنَا مَالِكٌ عَنْ أَبِي الزِّنَادِ عَنْ الْأَعْرَجِ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا يُمْنَعُ فَضْلُ الْمَاءِ لِيُمْنَعَ بِهِ الْكَلَأُ

Maksud: 2353. Abdullah bin Yusuf menyampaikan kepada kami dari Malik, dari Abu az-Zinad, dari al-A’raj, dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Tidak boleh melarang (orang lain) menggunakan sisa air (yang telah digunakan) kerana itu menyebabkan orang lain tidak boleh memberi makan rumput ternaknya.”

صحيح البخاري - كِتَاب الشُّرْبِ والْمُسَاقَاةِ - لا يمنع فضل الماء ليمنع به الكلأ

حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ بُكَيْرٍ حَدَّثَنَا اللَّيْثُ عَنْ عُقَيْلٍ عَنْ ابْنِ شِهَابٍ عَنْ ابْنِ الْمُسَيَّبِ وَأَبِي سَلَمَةَ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا تَمْنَعُوا فَضْلَ الْمَاءِ لِتَمْنَعُوا بِهِ فَضْلَ الْكَلَإِ

Maksud: 2354. Yahya bin Bukair menyampaikan kepada kami dari al-Laits, dari Uqail, dari Ibnu Syihab, dari Ibnu al-Musayyib dan Abu Salamah, dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Janganlah kalian melarang (orang lain) menggunakan sisa air (yang telah kalian gunakan) kerana itu menyebabkan orang lain tidak boleh memberi makan rumput ternaknya.”

Syarah Hadis – Syarah Fathul Baari ms 296-299
Ibnu Bathal berkata, “Ulama tidak berbeza pendapat bahawa pemilik air lebih berhak hingga dia memenuhi keperluannya,”
Menurut majoriti ulama yang dimaksudkan dengan air telaga yang berada di kawasan tanah milik seseorang. Termasuk dengan telaga yang dibuat di kawasan yang bukan milik seseorang jika maksud perbuatan itu untuk kepentingan peribadi.
Pendapat sahih dalam mazhab Syafi’e oleh Imam as-Syafi’e bahawa orang yang membuat telaga berhak atas airnya. Sedangkan telaga yang dibuat di kawasan tanah tanpa pemilik bukan dengan maksud untuk menyantuni orang dan bukan utnuk dimiliki, maka orang yang membuatnya tidak berhak atas air telaga itu tetapi dia berhak selama belum berpindah dari tempat tersebut. Namun pada hadis kedua, dia wajib memberikan air yang melebihi keperluannya. Yang dimaksudkan dengan keperluan di sini ialah keperluan untuk dirinya, keluarganya, tanaman dan haiwan miliknya.
Para ulama mazhab Maliki mengkhususkan hukum ini untuk telaga di kawasan tanah tanpa pemilik. Mereka berkata tentang telaga dalam pemilikan seseorang, “Dia wajib memberikan air yang melebihi keperluannya.” Manakala air yang terdapat dalam bekas, maka apa yang tersisa dari keperluannya tidak wajib diberikan kepada orang yang sangat tidak memerlukannya.
Makna zahir hadis ini juga mewajibkan memberi air secara percuma dan ini adalah pendapat jumhur ulama. Namun pendapat lain mengatakan bahawa pemilik air boleh menuntut harganya dari orang diperlukan sepertimana memberi makan orang yang sedang kelaparan. Tetapi pendapat ini dikritik kerana perbincangan dibolehkan seseorang untuk tidak memberikan air apabila orang yang memerlukannya tidak mahu membayar.
Ibnu Habib dari mazhab Maliki mengemukakan dalil bahawa apabila telaga itu milik dua orang, lalu salah seorangnya merasa tidak memerlukan air, maka yang lain boleh memanfaatkannya. Hal ini kerana itu termasuk air yang lebih dari keperluan saudaranya. 

Pengajaran Hadis.
1.      Pendapat jumhur ulama mengatakan bahawa memberikan air secara percuma adalah wajib berdasarkan makna zahir hadis ini. Hal ini kerana ianya merupakan suatu keperluan kepada manusia. Sekiranya diminta bayaran daripada manusia yang menggunakan air tersebut, maka apabila haiwan meminum sedikit air tersebut, adakah kita meminta bayaran daripada haiwan tersebut.
2.      Setiap apa yang manusia miliki semuanya merupakan kepunyaan Allah dan padanya juga terdapat hak-hak orang lain yang perlu ditunaikan.
3.      Apabila terdapat manusia lain yang memerlukan air di saat kita telah mendapatkan air secukupnya, maka hendaklah kita memberikannya tanpa berkira sedikit pun.

RUJUKAN
Al-Asqalani, Ibnu Hajar. 2006. Fathul Bari Penjelasan Kitab Sahih Al Bukhari.
            Penterjemah : Amiruddin. Cet. 1. Jil. 13. Hlm. 296-299.

No comments:

Post a Comment