عَنْ
أُمِّ حَبِيبَةَ بِنْتِ أَبِي سُفْيَانَ عَنْ زَيْنَبَ ابْنَةِ جَحْشٍ أَنَّ
رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم دَخَلَ عَلَيْهَا يَوْمًا فَزِعًا يَقُولُ
" لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَيْلٌ لِلْعَرَبِ مِنْ شَرٍّ قَدِ اقْتَرَبَ فُتِحَ
الْيَوْمَ مِنْ رَدْمِ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ مِثْلُ هَذِهِ " وَحَلَّقَ
بِإِصْبَعَيْهِ الإِبْهَامِ وَالَّتِي تَلِيهَا. قَالَتْ زَيْنَبُ ابْنَةُ جَحْشٍ
فَقُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَفَنَهْلِكُ وَفِينَا الصَّالِحُونَ؟ قَالَ "
نَعَمْ إِذَا كَثُرَ الْخُبْثُ ".
Maksudnya :
Dari Ummu Habibah binti Abu Sufyan, dari
Zainab puteri Jahsy, bahawa Rasulullah s.a.w masuk kepadanya suatu hari dalam
keadaan panik sambil mengucapkan, “Tidak ada Tuhan kecuali Allah, celaka bangsa
Arab kerana keburukan yang telah mendekat, dibukakan pada hari ini tembok
Ya’juj dan Ma’juj seperti ini.” Beliau kemudian membuat lingkaran dengan ibu
jarinya dengan yang sesudahnya. Zainab puteri Jahsy berkata, “Aku berkata,
‘Wahai Rasulullah, apakah kami akan dibinasakan sementara di antara kami ada
orang-orang yang soleh?’ Beliau bersabda, ‘Benar, apabila keburukan telah
bermaharaja lela’.”
( Sahih Bukhari. Kitab Fitan. Bab Ya’juj dan
Ma’juj. No. Hadis 7135. Sahih )
Keterangan Hadis :
Hadis tersebut menerangkan bahawa apabila di
suatu tempat atau negeri sudah terlampau banyak kejahatan, kemungkaran dan
kefasikan, maka kebinasaan akan menimpa semua orang yang berada di temapat itu.
Tidak hanya kepada orang jahat sahaja, tetapi orang-orang soleh juga akan
dibinasakan, walaupun masing-masing pada hari kiamat akan diperhitungkan
megikut amalan yang telah dilakukan.
Menurut
Ibnu Al Arabi, beliau berkata, “Di dalamnya terdapat penjelasan bahawa orang
yang baik akan binasa seiring dengan dibinasakannya orang jahat jika orang baik
itu tidak merubah kejahatan. Begitu juga apabila orang baik telah berusaha
merubahnya namun tidak memberi manfaat dan orang jahat itu tetap dalam
perbuatan buruknya. Kejahatannya semakin merebak dan bertambah banyak berlaku
kerosakan. Maka saat itu dibinasakan kesemuanya. Oleh itu, segala kemungkaran
dan kefasikan hendaklah segera dibasmikan dan segala kemaksiatan hendaklah
segera dimusnahkan, supaya tidak terjadi malapetaka yang bukan sahaja akan
menimpa orang-orang yang melakukan kemungkaran dan kejahatan tersebut, tetapi
ianya menimpa semua penduduk yang berada di tempat itu.
Dalam hadis tersebut, walaupun
disebutkan secara khusus tentang bahasa Arab tetapi yang dimaksudkan adalah
seluruh bangsa yang ada di dunia ini. Tujuan disebutkan bangsa Arab secara
khusus adalah kerana Rasulullah s.a.w merupakan dari kalangan mereka, dan yang
menerima Islam pada masa permulaan penyebarannya adalah kebanyakannya dari
kalangan bangsa Arab dan sedikit sahaja dari bangsa yang lain. Begitu juga hal
yang berkaitan dengan maju dan mundurnya Islam. Umat Islam banyak bergantung
kepada maju dan mundurnya bangsa Arab itu sendiri.
Selain
itu, bahasa rasmi Islam adalah bahasa Arab. Kemudian Ya’juj dan Ma’juj pula
adalah dua bangsa (dari keturunan Nabi Adam a.s.) yang dahulunya banyak membuat
kerosakan di permukaan bumi ini, lalu batas daerah dan kediaman mereka ditutup
oleh Zul Qarnain dan pengikut-pengikutnya dengan campuran besi dan tembaga,
maka dengan itu mereka tidak dapat keluar sehinggalah hampir tibanya hari
kiamat. Maka pada masa itu, dinding yang kuat tadi akan hancur dan keluarlah
kedua-dua bangsa ini dari kediaman mereka lalu kembali membuat kerosakan di
permukaan bumi ini. Apabila hal ini telah terjadi, ia menandakan bahawa hari
kiamat sudah dekat.
Pengajaran Hadis :
Tembok Zul Qarnain berkait rapat dengan asal
usul dan identiti bangsa Ya’juj dan Ma’juj. Daripada Ibn Abbas r.a kepada Ibn
Khaldun sehinggalah ulama mutakhir, mereka seolah sepakat mengatakan bahawa
tembok Zul Qarnain terletak di pergunungan Caucasus. Apabila tiba ketentuan
Allah s.w.t, sebagaimana yang Allah s.w.t janjikan, tembok itu akan hancur,
maka Ya’juj dan Ma’juj akan muncul dan akan turun ‘dari seluruh tempat yang
tinggi’. Oleh itu, perkara-perkara berkaitan peristiwa akhir zaman ini wajib
diimani oleh setiap muslim dan tidak boleh disanggah sama sekali tentang
kebenarannya.
Menjadi
satu kepastian kaum Ya’juj dan Ma’juj akan muncul di akhir zaman sebelum
terjadinya Hari Kiamat. Hal ini menjadi salah satu dari tanda-tanda besar
berlakunya Kiamat. Di dalam hadis Rasulullah s.a.w, ada menyebut, apabila
Ya’juj dan Ma’juj muncul, mereka melalui Tasik Tabariah dan mereka meminum
airnya sehingga kering. Justeru, kita perlu beramal ibadah dengan
sebenar-benarnya seperti yang disuruh Allah s.w.t melalui teladan yang
ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. Hal ini demikian kerana ia merupakan perkara
asas dan umum yang mesti kita lakukan agar iman menjadi mantap.
Rujukan :
Ibnu Hajar Al Asqalani. 2009. Fathul Baari
Penjelasan Kitab Sahih Bukhari. Penterjemah : Amiruddin. Cetakan Pertama.
Jakarta : Pustaka Azzam. Kitab Al-Fitan. Jilid 35. Bab 28. Hlm. 363-379.
nice~
ReplyDeletejazakillah dear :)
Delete