عن زهير قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم إن
المقسطين عند الله على منابر من نور عن يمين الرحمن عز وجل وكلتا يديه يمين الذين
يعدلون في حكمهم وأهليهم وما ولوا.
Maksudnya: Daripada Zuhair
katanya Rasulullah SAW bersabda: “Orang-orang yang berlaku adil berada di sisi
Allah di atas mimbar yang dibuat daripada cahaya, di sebelah kanan al-Rahman
‘Azza Wa Jalla - sedangkan kedua tangan Allah adalah kanan semua – iaitu
orang-orang yang berlaku adil dalam hukum, adil dalam keluarga dan adil dalam
melaksanakan tugas yang dibebankan kepada mereka.”
Syarah Hadith
Hadith ini menjelaskan tentang kelebihan pemimpin yang adil serta balasan baik
yangakan diperolehi sekiranya mereka menjalankan amanah yang diberi dengan
sebaik-baiknya tanpa sebarang kezaliman, pencabulan hak, rasuah serta jenayah-jenayah
lain. Pemimpin yang mempunyai cirri-ciri kepimpinan yang baik mampu memberi
tauladan yang baik kepada rakyat seluruhnya. Sebaliknya, kepimpinan yang zalim
akan memberi kesan yang buruk terhadap diri, masyarakat dan negara seluruhnya.
Al-Qadhi ‘Iyyad berkata bahawa yang dimaksudkan dengan mimbar ialah mimbar
secara haqiqi dan juga mengandungi makna kinayah iaitu satu kedudukan yang
tinggi dan mulia. Justeru, Imam al-Nawawi telah mengambil jalan menghimpunkan
kedua-dua pandangan ini dengan menjelaskan bahawa pemimpin yang berlaku adil di
dalam setiap setiap gerak kerjanya akan mendapat kedudukan yang tinggi di sisi
Allah iaitu di atas mimbar yang tinggi.
Hadith ini juga menyebut tentang salah satu daripada salah satu daripada sifat-sifat
Allah iaitu ‘tangan kanan al-Rahman’. Ulama’ telah berselisih pendapat mengenai
hadith-hadith sifat. Terdapat diantara mereka yang beriman dengan hadith
tersebut tanpa mengubah maknanya yang asal (takwil) seperti jumhur ulama’ Salaf
dan sebahagian ulama’ Mutakallimin. Manakala sebahagian lain berpendapat bahawa
hadith-hadith atau ayat-ayat yang berkaitan dengan sifat hendaklah diubah
maknanya kepada makna lain yang bersesuaian dengan keagungan dan kesempurnaan
Allah seperti pendapat kebanyakan ulama’ Mutakallimin.
Al-Qadhi ‘Iyyad berkata, yang dimaksudkan dengan ‘kanan’ ialah satu keadaan
yang baik serta kedudukan yang tinggi. Manakala Ibn ‘Arafah pula berpendapat
bahawa kebanyakan orang arab jika ingin menunjukkan sesuatu yang baik dan
terpuji, mereka akan menggunakan sesuatu yang berada di sebelah kanan dan
sebaliknya akan menisbahkan kepada anggota kiri sekiranya ia menunjukkan
sesuatu yang hina.
Manakala maksud ‘orang-orang yang berlaku adil dalam hukum, adil dalam keluarga
dan adil dalam melaksanakan tugas yang dibebankan kepada mereka’ pula adalah
merupakan salah satu kelebihan kepada mana-mana pemimpin di semua peringkat
yang melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan sebaik-baiknya. Mereka berhak
mendapat kedudukan yang tinggi di hadapan Allah kerana melaksanakan hubungan
baik dengan Allah dan dalam masa yang sama berlaku baik terhadap manusia.
Pengajaran Hadith
1. Galakan kepada pemimpin supaya
melaksanakan tanggungjawab dengan adil.
2. Pemimpin yang adil berhak mendapat
kedudukan mulia di sisi Allah.
3. Kepentingan merapatkan hubungan
sesama manusia untuk mendapat keredhaan Allah.
Takhrij Hadith
Hadith riwayat Muslim, Kitab
al-Imarah, Bab Kelebihan Pemimpin Yang Adil, Ancaman Terhadap Pemimpin Yang
Zalim, Anjuran Supaya Berlemah Lembut Terhadap Rakyat Dan Larangan Menyusahkan
Mereka, No. Hadith: 3406.
No comments:
Post a Comment