Saturday, 7 March 2015

Hadis Perkhabaran Rasul Tentang al-Fitan






Assalamualaikum wbt.

حدثنا أبو اليمان أخبرنا شعيب عن الزهري (ح) . وحدثنا إسماعيل حدثني أخي عن سليمان عن محمد بن أبي عتيق عن ابن شهاب عن هند بنت الحارث الفراسية أن أم سلمة زوج النبي صلى الله عليه وسلم قالت: استيقظ رسول الله صلى الله عليه وسلم ليلة فزعا يقول ( سبحان الله ماذا أنزل الله من الخزائن وماذا أنزل من القتن من يوقظ صواحب الحجرات – يريد أزواجه لكي يصلين- رب كاسية في الدنيا عارية في الأخرة ).

Maksudnya :
Daripada Ibn Syihab daripada Hindun binti al-Harith bin al-Firasiyyah, sesungguhnya Ummu Salamah isteri Nabi s.a.w berkata : Rasulullah telah bangun pada waktu malam dengan mengejut dan bersabda : Apa yang Allah turunkan daripada harta-harta dan apa yang Allah turunkan daripada fitnah? Siapakah yang boleh menolong untuk mengejutkan puan-puan (isteri-isteri) empunya bilik supaya mereka solat. Boleh jadi orang yang memakai pakaian di dunia tidak akan berpakaian di akhirat.

( Bukhari. Kitab Ilmu. Bab Ilmu dan Nasihat di Malam Hari. No. Hadis 6658 )

Keterangan Hadis :

Maksud Imam Bukhari tentang bab mengajarkan ilmu di malam hari adalah menjelaskan bahawa larangan bercengkerama setelah isyak adalah khusus dalam masalah yang tidak ada unsur kebaikannya.
  : سبحان الله ماذا
Kata istifham (pertanyaan) dalam kalimat ini menggambarkan rasa takjub dan pengagungan.
 :أنزل
(Diturunkan) membawa maksud para malaikat telah turun untuk memberitahu tentang perkara-perkara yang telah ditetapkan, atau Nabi bermimpi telah diturunkan wahyu kepadanya mengenai bencana dan fitnah yang akan terjadi setelah meninggalnya.
 :صواحب الحجرات
Maksudnya, rumah-rumah para isteri Nabi s.a.w. Dikhususkannya mereka untuk dibangunkan, adalah kerana pada saat itu mereka hadir atau juga hal ini termasuk “Mulailah dari diri anda sendiri kemudian baru keluarga anda.”
 :عارية
(Telanjang). Rasulullah mengisyaratkan akan kewajipan untuk membangunkan isteri-isteri beliau atau diwajibkan bagi mereka untuk tidak lalai menunaikan ibadah agar tidak bergantung pada status mereka sebagai isteri Nabi.

Pengajaran Hadis :

1 ) Isyarat boleh mengucapkan tasbih “SubhanaAllah” ketika terkejut atau menyaksikan sesuatu yang mengerikan (maksudnya turunnya fitnah) serta anjuran untuk menyebut nama Allah setelah bangun tidur.

2 ) Anjuran untuk segera menunaikan solat ketika takut datangnya keburukan sebagaimana Rasulullah memerintahkan untuk mengerjakan solat sekiranya ditimpa kesusahan atau mimpi melihat sesuatu yang tidak disukai.

3 )  Hendaklah seorang suami membangunkan isterinya di malam hari untuk menunaikan ibadah, lebih-lebih lagi apabila terjadi atau muncul tanda-tanda kebesaran Allah.

Rujukan :
Ibnu Hajar al-Asqalani. 2002. Fathul Bari Penjelasan Kitab Shahih al-Bukhari. Penterjemah : Gazirah Abdi Ummah. Cet. 1. Jil. 1. Jakarta : Pustaka Azzam. Hlm 401-403.



No comments:

Post a Comment