Assamualaikum wbt.
عن أبي ذرّ قال قلت يا رسول الله ألا تستعملني قال فضرب
بيده على منكبي ثم قال يا أبا ذرّ إنك ضعيف وإنها أمانة وإنها يوم القيامة خزي
وندامة إلا من أخذها وأدّى الذي عليه فيها.
Maksudnya: Daripada Abu
Dzar, dia berkata, “Wahai Rasulullah, tidakkah engkau menjadikanku sebagai
pegawai pejabat?” Kemudian Baginda menepuk bahuku dengan tangan Baginda seraya
besabda: “Wahai Abu Dzar, kamu ini lemah untuk memegang jawatan, padahal
jawatan itu merupakan amanah. Pada hari qiamat ia adalah kehinaan dan
penyesalan kecuali bagi sesiapa yang mengambilnya dengan haq dan melaksanakan
tugas dengan benar.”
Syarah Hadith
Hadith ini diriwayatkan oleh sebilangan ramai perawi iaitu 40 orang dari
kalangan para tabi’in yang meriwayatkan antara satu sama lain. Di dalam riwayat
lain, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Wahai Abu Dzar, sesungguhnya aku
melihatmu sebagai seorang yang lemah (daripada menerima jawatan), sedangkan aku
mencintaimu sepertimana aku mencitai diriku. Janganlah kamu menjadi pemimpin di
antara dua orang dan janganlah kamu menguasai harta anak yatim.”
Hadith ini menjadi dasar terpenting dalam permasalahan seseorang yang
meminta-minta jawatan terutamanya bagi yang tidak mampu untuk melaksanakan
tanggungjawab pekerjaan tersebut. Mereka berhak mendapat kecelakaan dan
penyesalan kerana mereka tidak berkelayakan di dalam pekerjaan yang diminta,
atau mereka layak, tetapi tidak menjalankan amanah yang diberikan secara adil
akan dihina oleh Allah pada hari qiamat kelak dan dalam masa yang sama mereka
akan menyesal terhadap apa yang mereka lakukan di dunia.
Sebaliknya, sesiapa yang berkelayakan untuk memegang tampuk kepimpinan serta
berlaku adil di dalam pemerintahannya akan mendapat ganjaran yang besar di sisi
Tuhannya seperti yang dijelaskan oleh Baginda SAW, “Tujuh golongan yang akan
mendapat perlindungan di bawah naungan ‘Arasy Allah (di hari qiamat kelak)
ketika manusia tidak mendapat perlindungan selain perlindungan-Nya, antaranya
ialah pemimpin yang adil…”
Pengajaran Hadith
1. Seseorang yang tidak berkelayakan
di dalam sesuatu pekerjaan tidak sepatutnya meminta-minta jawatan tersebut
kerana dibimbangi tidak dapat melaksanakan amanah dengan sebaiknya.
2. Sikap tamak terhadap jawatan akan
membawa penyesalan di hari pembalasan.
3. Pemimpin yang adil akan mendapat
pertolongan daripada Allah serta disenangi oleh rakyatnya.
Takhrij Hadith
Hadith riwayat Muslim, kitab
al-Imarah, Bab Makruh Meminta Jawatan Tanpa Keperluan, No. Hadith: 3404.
No comments:
Post a Comment