1.
صحيح البخاري
- كِتَاب الْمُزَارَعَةِ - بَاب مَنْ أَحْيَا أَرْضًا مَوَاتًا
حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ بُكَيْرٍ حَدَّثَنَا اللَّيْثُ عَنْ عُبَيْدِ اللَّهِ
بْنِ أَبِي جَعْفَرٍ عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ عَنْ عُرْوَةَ عَنْ عَائِشَةَ
رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ
أَعْمَرَ أَرْضًا لَيْسَتْ لِأَحَدٍ فَهُوَ أَحَقُّ قَالَ عُرْوَةُ قَضَى بِهِ عُمَرُ
رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ فِي خِلَافَتِهِ
Maksud: 2335. Yahya bin Bukair menyampaikan kepada kami
dari al-Laits, dari Abdullah bin Abu Ja’far, dari Muhammad bin Abdurrahman,
dari Urwah, dari Aisyah bahawa Nabi s.a.w. bersabda, “Siapa yang mendiami tanah
tidak bertuan, dia lebih berhak memilikinya.
Syarah Hadis – Syarah Fathul Baari ms 257-261
Urwah berkata, “Umar melaksanakan ketetapan hukum ini
pada masa kekhalifahannya.”
Al-Qazzaz berkata, “Yang dimaksudkan dengan tanah mati
adalah tahan yang belum dikelola. Pengelolaan tanah itu disamakan dengan
kehidupan dan membiarkannya disamakan dengan kematian. Maksud menghidupkan
tanah yang mati adalah mendatangi tanah yang tidak diketahui pernah dimiliki
oleh seseorang, lalu mengelolanya dan menanaminya serta mendirikan bangunan di
atasnya. Dengan demikian, tanah itu menjadi miliknya, sama ada lokasinya dekat
atau jauh dari tempat tinggal, diizinkan oleh imam atau tidak.” Ini merupakan
pendapat majoriti ulama.
Abu Hanifah berkata, “Harus mendapat izin dari imam
secara mutlak.” Manakala Imam Malik berkata bahawa pemberian izin dari imam itu
khusus pada tanah yang berdekatan dengan tempat tinggal.
Walau bagaimanapun, yang dikategorikan sebagai dekat
ialah jika tempat tersebut masih diperlukan oleh orang-orang yang tinggal di
sekitarnya seperti tempat untuk mengembala haiwan ternak atau sebagainya.
At-Thahawi berhujah untuk menyokong pendapat jumhur ulama
dengan hadis di atas melalui metod qiyas dengan air laut dan sungai serta
burung atau haiwan yang ditangkap, di mana para ulama sepakat bahawa siapa yang
mengambilnya atau menangkapnya, maka dia berhak memilikinya, baik lokasinya
dekat atau jauh, diberi izin imam atau tidak.
Pengajaran Hadis:
1. Menghidupkan atau
mengusahakan tanah mati adalah dianjurkan kerana ianya dapat memberi manfaat
dan kebaikan kepada manusia, haiwan dan seisi alam.
2. Berdasarkan hadis
ini, majoriti pendapat ulama sepakat mengatakan individu yang mengusahakan
tanah mati sehingga mendirikan bangunan di atas tanah tersebut adalah pemilik
tanah secara mutlak sama ada dekat atau jauh.
3. Namun begitu, dalam
keadaan moden inivuntuk mengusahakan tanah yang telah lama ditinggalkan tanpa
diketahui siapa pemilik tanah tersebut hendaklah meminta penjelasan dan
keizinan daripada pihak berkenaan dahulu. Hal ini kerana hak milik tanah terikat
dengan akta perundangan.
RUJUKAN
Al-Asqalani, Ibnu Hajar. 2006.
Fathul Bari Penjelasan Kitab Sahih Al Bukhari.
Penterjemah : Amiruddin. Cet. 1. Jil. 13. Hlm. 257-261.
No comments:
Post a Comment